Selamat menyambut hari kemerdekaan buat semua

Assalammualaikum...

Hari ini, Muthiah sekadar mahu berkongsi gambar yang Muthiah ambil malam tadi di dataran MBI sempena perhimpunan hari kemerdekaan. Jom tengok... usah cakap apa-apa :)

 Khusyuk mendengar ucapan.

 Dan lagi...

 Bak kata UAI, "Kita merdeka rohani dan jasmani daripada penjajahan barat."

 ^_^

Tetap khusyuk mendengar ucapan.

Sebelum bersurai.

Semoga kita semua sentiasa berusaha dan tidak berputus asa dalam memerdekakan diri daripada sesuatu yang dibenci ALLAH.
Labels: 0 comments | | edit post

Kek coklat kukus

Assalammualaikum. Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan buat semua. Moga kita sentiasa berada di bawah lindungan ALLAH. Yuk... kita bukan setakat hendak merdeka daripada penjajahan negara tetapi kita mahu merdeka daripada...

  • berterusan melakukan dosa dan maksiat.
  • sikap buruk, keji lagi hina.
  • _______ (apa-apalah yang mendatangkan dosa, perpecahan)


Okey. Bersempena dengan hari kemerdekaan ini, Muthiah ingin berkongsi resipi kek (hahaha... ada ke patut!). Resipi ini Muthiah dapat daripada nenek saudara Muthiah yang tinggal di Dungun dan kek yang dibuat beliau agak laris di pasaran (macam jual tudung pula) Jom cuba :)

Bahan-bahan

(A)

1 1/2 cawan serbuk koko 
2 cawan gula
1 tin susu cair
1 tin susu pekat
2 cawan minyak jagung
Sedikit isen vanila

  1. Campur semua bahan (A) dan masak di atas dapur (buka api sederhana). 
  2. Masak sampai gula hancur.

Peringatan : Tidak payah tunggu sampai menggelegak.


(B)

2 1/2 cawan tepung gandum
1 sudu besar soda bikarbonat
1 sudu besar baking powder

  1. Ayak semua bahan (B) sekaligus.

(C)

6 biji telur

  1. Pukul telur dengan garfu.

(D)

1 bar coklat
100 cc whipping cream  (carilah yang non-dairy)
1 sudu mentega

  1. Panaskan air di dalam periuk. 
  2. Letakkan periuk (lebih kecil) atau loyang di atas air yang sedang dipanaskan.
  3. Masukkan coklat dan whipping cream sampai hancur.
  4. Setelah angkat, letakkan 1 sudu mentega.

Peringatan : Kurangnya whipping cream akan menyebabkan topping kek menjadi keras.

Cara membuatnya

Nota : Untuk bahan-bahan di atas, kita boleh buat 5 bekas kek. Kek dalam gambar adalah bahan yang terakhir. Maka, tidak cukup penuh.

  1. Campurkan bahan (A) dan (B). Kacau sampai sebati.
  2. Campur bahan (C) pula dan kacau lagi sampai sebati.
  3. Biarkan selama 5 minit.
  4. Panaskan air di atas dapur siap-siap. 
  5. Setelah air menggelegak (untuk kukusan), letakkan kek yang sudah dibubuh di dalam bekas. Pada muka penutup periuk stim, boleh letak kain atau plastik bagi menghindari air jatuh ke dalam kek.
  6. Masak selama 30 minit.
  7. Siap kek, bubuh bahan (D) untuk topping.
Peringatan : Meletakkan kek di atas dapur sebelum air menggelegak menyebabkan... alamak, Muthiah lupalah tetapi adalah :(


Selamat mencuba. Kalau tidak menjadi, usaha lagi :)
Labels: 0 comments | | edit post

Bisakah memaafkan?

Assalammualaikum. Apa khabar? Muthiah... Alhamdulillah. jemari semakin laju mengatur rentak tari walaupun tampak sumbang. Semakin gigih berusaha mencari idea yang agak ketandusan. Bak kata Ketua Editor Alaf 21, Puan Sa'adiah Mohamad apabila Muthiah mengutarakan hal ini di grup penulis Alaf21, 'Nazihatul Hanan; akibat lamanya cuti raya. Pulihkan semangat menulis anda.' Yeah! Insya-ALLAH...

Malam tadi, Muthiah bermimpi sesuatu yang kurang menyeronokkan tetapi tidaklah sampai mengganggu emosi sebaik sahaja mencelikkan mata. Seseorang yang Muthiah tidak suka kewujudannya hadir dalam mimpi tersebut. Walaupun sudah lama berlalu, teringatkan dia membuatkan Muthiah rasa tergores dan terhiris. Chewah. Jiwang karat.


Kemudian, Muthiah bersoal jawab pada diri sendiri.

  • sampai bila mahu berperasaan begini?
  • ALLAH suka atau tidak?
  • apa manfaat yang diperoleh daripada perasaan (tidak elok ini)... boleh jadi rasa benci?
  • sejauh mana perasaan ini dapat mendekatkan diri pada ALLAH?
  • orang yang mahu masuk syurga ALLAH, hatinya beginikah?

Kemudian entah dengan tidak semena-mena... Muthiah menghantar satu kiriman mesej kepadanya (di Facebook kerana kami hanya kenal di muka buku). Muthiah nyatakan tentang mimpi tersebut. Dalam masa yang sama, Muthiah cuba ikhlaskan hati (meski rasa tidak cukup telus melakukannya) -> Selamat Hari Raya serta Maaf Andai Ada Terlanjur Rasa. 

Muthiah berharap agar Ramadhan lalu berjaya mentarbiah Muthiah menjadi lebih baik. Tidak ada manusia yang sempurna. Setiap insan punya titik kelemahan namun! Tidak bermakna kita hendak menafikan usaha untuk terus berbuat kebaikan dan menjadi yang terbaik. Dia ada buat salah. Kita pun lagi banyak kesilapan sebenarnya. 

Moga ALLAH lapangkan hati ini. Insya-ALLAH... amin.

Sahabat-sahabat macam mana? Masih ada yang tidak setel (hati dan perasaan)? Susah kan apabila melibatkan emosi ini tetapi cubalah. Jom kita sama-sama berusaha untuk menjadi yang terbaik walau kita bukanlah dilihat yang terbaik. Sisi pandangan ALLAH itu lebih utama, bukan?

Okey. Masa untuk masak. Selamat berbuka puasa bagi sahabat-sahabat yang berpuasa hari ini.

Pahit sebuah perpisahan

Assalammualaikum. Apa macam? Sudah berjaya kembalikan mood bekerja setelah agak lama bercuti? Payah juga kan. Teringat pula dengan petikan kegemaran Muthiah satu ketika dahulu...


'Jika kamu ingin merasa betapa manisnya berhubung dengan TUHAN-mu, maka engkau harus garang terhadap dirimu. Bilamana engkau telah merasai kemanisan perhubungan itu, tahulah engkau betapa pahitnya apabila berpisah dengan DIA.' 
Muhammad bin Abdullah as-Syibli.


Muthiah suka mengambil contoh begini. Kita mahu akrab dengan ALLAH. Kita mahu jadi kekasih ALLAH. Hukhuk... teringat nama pena Muthiah ketika muda-muda dahulu (Muthiah Habibatullah). Maka, kita buat apa sahaja untuk menghampirkan diri kepada ALLAH.

Apa yang mendekatkan kita pada ALLAH? Tanyakan pada diri, jawablah dalam hati...
  • solat pada awal waktu? - Kerja banyak tetapi kita mahu akrab dengan ALLAH. Maka, yuk solat dahulu. Kita luangkan masa untuk ALLAH, insya-ALLAH DIA ada mempermudah segala urusan kita. YAKIN!
  • solat tahajud? - Aduh, mengantuknya tetapi... ya! Aku mahu jadi kekasih ALLAH. Bangun, wahai diri. Aku mesti buat!
  • puasa sunat? - Puasa Nabi Daud jom. Apabila perut lapar... mata, mulut dan telinga, boleh jadi dapat dijaga. Lagipun, dengan berpuasa dapat mengawal nafsu.
  • membaca al-Quran? - Kalau Polan binti Polan boleh baca 1 muka surat sehari... aku mahu jadi lebih baik daripadanya. Maka, aku baca 1 juz sehari. Caiyok!
  • berinfaq ke jalan ALLAH? 
  • _______________
  • _______________ 
  • _______________ (maknanya banyak perkara yang boleh dibuat untuk mendekatkan diri dengan ALLAH)

Matlamat kita satu. Kita lakukan semua ini untuk mendekat dengan ALLAH. Kita mahu menikmati kemanisan iman. Kita hendak mengecapi rasa 'zuk' berhubung dengan TUHAN. Kita bukan setakat mahu tahu yang ALLAH maha hampir tetapi kita ingin merasai adanya DIA di sisi kita (padahal ALLAH memang ada... sangat dekat... lebih hampir daripada urat merih kita sendiri). 

Apabila DIA dekat, membuatkan kita takut untuk bermaksiat kepada-NYA. Kita bekerja keras melakukan kebaikan secara berterusan. ALLAH suka dengan hamba-NYA yang sabar. Maka kita pun mendidik diri menjadi insan yang sabar. ALLAH suka kita berlapang dada dan mudah memberi kemaafan. Maka, kita cuba untuk membuat apa yang ALLAH suka. 

ALLAH suka... ALLAH suka... ALLAH suka...
Kita buat... kita buat... kita buat...

Kerana apa? Kerana ALLAH...

Dan sekiranya kita tersalah langkah, kita cepat kembali. Kita percaya. Hati yang dekat dengan ILAH akan tidak tenteram dengan dosa yang dilakukan. Tidak tenang? Kita koreksi diri. Di manakah silap kita? Ya, jumpa! Tanpa bertangguh, kita terus bertaubat, menyesali keterlanjuran yang telah kita lakukan. 

Sesungguhnya, ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. 

Kita buat...
kita paksa diri...
kita berusaha keras untuk itu...

Segalanya untuk dan kerana ALLAH.

Akhirnya...

Kemanisan iman yang dicari dapat kita rasai. Kita bahagia dalam melakukan ketaatan kepada RAB. Kita tenang dalam mengabdikan diri pada-NYA. Kedekatan ini membuatkan kita selalu menghisab diri. Hasilnya, wujud satu rasa yang tidak dapat kita huraikan dengan kata-kata di dalam sanubari kita.

Namun satu hari...

Kita sedikit alpa. Ah! 
  • malasnya hendak bangun qiam. Esoklah..
  • kerja banyaklah. Nanti-nantilah solat..

Sekali kita tinggalkan. Rasa something wrong somewhere tetapi...'Tidak apalah. Baru sekali.'
Kali kedua kita tinggalkan. Rasa tersebut semakin berkurang tetapi masih ada... 'Tidak apalah.Esok usaha untuk kembali.'
Kali ketiga, keseterusnya dan lagi... kita sudah tidak merasa apa-apa.

Apabila terjaga, barulah kita menyesali. Kita sebenarnya telah kehilangan. Kita merenung semula. Kita bersungguh-sungguh untuk meraih kemanisan yang entah ke mana perginya itu tetapi aduh payahnya.

Saat itu baru kita sedari... 

BETAPA PAHITNYA APABILA BERPISAH DENGAN DIA.

"Tidak ada yang lebih manis dalam kehidupan ini melainkan tatkala berjaya mencapai kemanisan iman dan mengecap cinta Ilahi," Muthiah Habibatullah, insya-Allah.

Jemput baca Hati.

Apabila ALLAH mengehendaki

Assalammualaikum. Alhamdulillah... setelah bercuti agak lama dek berhari raya di kampung halaman, Muthiah kembali masuk pejabat. Yahu....

Mula-mula, kontang idea. Ditambah dengan perasaan yang sedikit ting tong hari ini. Tidak dapat fokus dalam kerja. Namun, dikuatkan juga semangat -> Muthiah... kamulah yang membuat pilihan! Oleh sebab Muthiah mahu berjaya dalam bidang ini, maka Muthiah tidak boleh berputus asa dalam berusaha. Yeah!

Ikut hati, banyak yang hendak dikongsi di sini. 
  • Pasal perbincangan sebelum balik raya.
  • pasal raya. 
  • pasal kejutan hari raya (kejutan yang tidak dikehendaki).
  • pasal buku baharu (ehem... ehem). 
  • pasal rasa hati. 
  • pasal keinginan jiwa. 
  • pasal koreksi diri dan banyak lagi... 
... yang Muthiah kira, boleh dimanfaatkan bersama bagi mereka yang mahu mengambil faedah daripadanya. 

Ehe. September bakal menjelma. Tidak sabar Muthiah menantinya. Kenapa? Jeng jeng jeng...

Cerpen Muthiah berjudul Apabila ALLAH mengehendaki bakal tersiar di dalam majalah ANIQAH. Alhamdulillah. Suka dan gembira. Membuatkan Muthiah yang selalu teralpa dan mengeluh ini kembali menghisab diri.

Kita sedih apabila doa belum dimakbul TUHAN tetapi kita lupa dengan banyak benda yang ALLAH telah beri kepada kita <- Nanti Muthiah tulis entri lain tentang ini, insya-ALLAH


Yuk, dapatkan ANIQAH, September 2012, Bil. 82 di pasaran.



Cerpen mengisahkan seorang wanita, Salmah yang suka benar membandingkan anak orang lain dengan anak menantunya. Pada kaca mata Salmah... hanya anaknya yang pandai membuat pilihan (mencari bini). Hanya menantunya yang cantik. Memang keturunan Che Wan Ali tidak ada cacat celanya. Anak orang lain... ada sahaja yang tidak kena. Bicaranya menggores hati. Hatinya keras macam batu. 

Namun siapa lagi yang mampu menidakkan ketentuan ALLAH yang Maha Kuasa?

Okey. Selamat membaca. Bagi yang berpuasa hari ini, Selamat Berbuka Puasa Muthiah ucapkan. Doakan Muthiah etek :)

Salam Syawal

Assalammualaikum. AKHIRNYA...

  • blog dijengah, tengok sekali lalu dahulu. Mood menulis belum hadir.
  • blogspot.com digodek, jemari belum kepingin memulakan tarinya. Jadi bagaimana? 

Sesudah menunaikan solat Asar, kuatkan hati dan semangat. Mesti menulis di sini. Apa-apalah. Janji tulis... tidak mahu teratak ini terus bersawang dan lagi... dan lagi. Lama kelamaan, datang labah-labah menjadikan teratak ini habitat rasmi. 


Di kesempatan ini, sekali lagi Muthiah ingin mengucapkan Salam Syawal (versi selepas Raya Pertama) buat sahabat-sahabat maya yang sudi datang menjengah ke teratak Muthiah. Terima kasih daun keladi. Moga ukhwah ini akan lestari selamanya.

Hmm... mahu mencoret apa? Peringatan buat diri sendiri yang acap kali terlupa.

Moga kesan daripada tarbiah Ramadhan ini, menjadikan kita...

  • hamba ALLAH yang lebih baik daripada sebelumnya. Paling tidak, kita berusaha menjadi yang terbaik di sisi ALLAH... insya-ALLAH.
  • hamba ALLAH yang taat pada segala perintah-NYA. Yuk kita berusaha keras lakukan segala sesuatu yang diperintahkan TUHAN, tinggalkan larangan-NYA.
  • isteri solehah yang sentiasa mendamba redha ALLAH... 
  • anak solehah yang paling tidak, sentiasa mendoakan kedua ibu ayah... 
  • ibu solehah yang berusaha membentuk anak-anak soleh/ solehah... 
  • anggota masyarakat yang tidak putus asa untuk amar makruf dan nahi mungkar. Sampaikan walau seayat. 
  • ________________________
  • ________________________

Amin... amin... amin...

Moga-moga, kita semua terhindar daripada kemurkaan ALLAH yang bisa melorong kaki kita ke neraka jahanam, nauzubillah.

Okey. Sudah menghampiri jam 6.30 petang. Masa untuk menyediakan makan malam. Panjang umur kita ketemu lagi.

Muthiah : Moga coretan yang sedikit ini ada juga manfaatnya :)
Labels: 0 comments | | edit post

Singgah sekejap

Assalammualaikum. Apa khabar? Agak lama Muthiah tidak menjengah ke sini. Sedikit sibuk dengan urusan di luar. Pada hari Sabtu lepas, Muthiah telah menghadiri satu majlis perjumpaan dengan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka di Pulau Pinang. Ahadnya pula, Muthiah ke KL mengikut suami. Pagi Selasa, pergi cari tudung raya (hahaha). Pagi Rabu pula mengemas rumah dan membuat apa-apa yang patut (untuk balik kampung, yahu). Petang dan malam, Muthiah tidak available berblog. Intai-intai sahajalah ^_^ A



Hendak tulis apa ya? 

  • bila balik raya? 
  • bagi yang sudah menikah, raya pertama di kampung siapa? Ahaks :)
  • sekarang berada dalam mood akhir Ramadhan, atau beraya sudah?

Apapun kondisi kita, moga kita semua sentiasa berada dalam redha ALLAH.

Masa agak mencemburui Muthiah. Di kesempatan ini, Muthiah ingin mengucapkan ...

  • Selamat hari raya Aidilfitri. Moga tarbiah Ramadhan tahun ini menjadikan kita insan yang istiqomah dalam kebaikan. Jom usaha!
  • Maaf andai ada tersalah tulis, tersilap bicara, terlanjur dengar/ lihat (sesuatu yang tidak elok) dan yang seangkatan dengannya.
  • Berhati-hati di jalan raya. Banyakkan zikir dan istighfar kepada ALLAH. Ayuh, basahi bibir kita dengan sesuatu yang mendatangkan pahala.

Okey. Beransur dahulu. Muthiah mungkin offline sampai 26 Ogos ini namun jika berkesempatan dan ada ruang dan peluang, insya-ALLAH Muthiah berceloteh lagi. Terima kasih sahabat-sahabat (yang Muthiah kasihi) kerana sudi menjengah teratak Muthiah ini.

Sokongan dan doa kalian, amatlah Muthiah hargai. Moga ALLAH merahmati.
Labels: 0 comments | | edit post

Terima kasih

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Macam mana dengan ibadah puasa?

  • bangun sahur tak?
  • percepatkan berbuka apabila masuk waktu?
  • makan kurma dahulu sewaktu berbuka?
  • solat tarawih?

Moga kita semua masih berada dalam mood 10 malam terakhir Ramadhan. Jom... 

Hendak cerita apa ya? Tadak idea. Penat sedikit. Mungkin dek kerana berjalan di bawah terik matahari tadi. Okey. Santai-santai sahajalah...

Di sini, Muthiah ingin mengucapkan terima kasih kepada insan-insan yang Muthiah tidak cukup kenal tetapi sungguh baik dan berakhlak mulia. 

  • Moga ALLAH merahmati.
  • Moga dipermudahkan segala urusan hidup.
  • Moga berbahagia dan sukses di dunia akhirat.
  • Salam ukhwah daripada Muthiah.


Masjid Putrajaya

Pertama kali solat di sini. Muthiah 'sesat'. Tidak jumpa di manakah ruang solat wanita. Blur... Seorang adik yang comel manis, belajar di India menyatakan arah. Muthiah terus berjalan, mencari dan mencari tetapi tetap tidak nampak arah. Fikiran masih kabur. Letih agaknya. Kemudian, sang adik datang kepada Muthiah lalu menunjuk jalan ~ 
Nusha_Reen : Moga berjaya menjadi doktor gigi satu hari nanti, insya-ALLAH.

Masjid Hospital, Ipoh

Hendak ambil wuduk tetapi barang ni nak letak di mana? Iyalah. Seorang mak cik ada berpesan agar Muthiah menjaga barang peribadi sebaiknya. Ada kes kecurian di masjid ini. Kemudian hendak dijadikan cerita, seorang adik yang baik budi pekerti menawarkan diri untuk menjaga barang-barang Muthiah sementara Muthiah mengambil wuduk ~ 
Diyana : Moga menjadi anak dan kakak solehah, juga berjaya menyambung pengajian di IPTA. Satu hari nanti, boleh menjadi seorang akauntan berjaya ya, insya-ALLAH.

Maybank Ipoh Garden, Ipoh

Ah! Dekatnya orang ni parkir Hilux. Macam mana? Silap hari bulan, terlanggar.. kemudian, tergores. Hati sendiri akan terguris pulak. Oh, tidak. Tidak sampai sebulan Muthiah mencalarkan kereta. Tidak mahu kuulanginya lagi. Sekejap Muthiah memandu ke hadapan. Sekejap Muthiah memandu ke belakang. Kemudian, seorang lelaki tua berbangsa Cina menggerakkan tangannya, meminta Muthiah mengundurkan kereta. Muthiah tetap risau. Hilux tu.... kalau calar, siapa nak bayar? Lelaki tersebut mengangguk-angguk dan menggerakkan tangannya lagi. Perlahan-lahan, Muthiah pun mengundurkan kereta ~ 
Pak cik Cina : Moga dikurniakan hidayah oleh ALLAH satu hari nanti, insya-ALLAH. 

Kadang-kadang, kita tidak sedar pun. ALLAH mempermudah urusan kita dengan 'menghantar' seseorang untuk membantu kita. ALLAH itu dekat, bukan? Kita sahaja yang buat-buat lupa atau lupa sungguh-sungguh. Kesimpulannya, apa jua kondisi kita sebenarnya tidak sendiri. 

Maka, jom kita buat kebaikan; Peka pada perasaan orang lain. Prihatin pada mereka yang sayang. Elakkan mengguris dan menggores...

Kebaikan itu boleh jadi tidak berbalas... tidak juga dihargai namun percayalah... ALLAH ada dan hampir memberi kebaikan. Apabila kita mengharapkan balasan dan penghargaan daripada manusia... SUNGGUH! Kita akan kecewa. 

ALLAH itu Maha Adil lagi Teliti Penghitungan-NYA.

Okey, meleret sudah. Salam memanfaatkan 10 malam terakhir Ramadhan. Yuk!

Solat sunat tasbih

Assalammualaikum. Selamat berpuasa :) Apa macam... apa yang berada di dalam minda sahabat-sahabat semua sekarang?
  • Mahu memanfaatkan 10 malam terakhir pada bulan Ramadhan? Yuk!!!
  • Balik kampung? 
  • Persiapan raya?
  • Raya?
  • Duit yang bakal digunakan nanti? Lebih bajet? Cukup-cukup?
Apapun yang berada di dalam benak kita ketika ini, moga-moga dapat mendekatkan diri kita kepada ALLAH, insya-ALLAH. Amin.

Okey. Hari ini, Muthiah ingin berkongsi info tentang solat sunat tasbih. Bagi yang mahu melaksanakannya... JOM!
Solat sunat tasbih

  • Dinamakan solat sunat tasbih kerana di dalamnya terdapat banyak ucapan tasbih (300 kali). 
Waktu solat
  • Malam = 4 rakaat dengan 2 salam.
  • Siang = 4 rakaat dengan 1 salam.
  • Pada setiap rakaat, terdapat 75 kali bacaan tasbih menjadikannya 300 kali (4 rakaat)
Cara melakukannya

1. Niat
  • 2 rakaat
  •  4 rakaat 
2. Doa Iftitah
3. Membaca al-Fatihah
4. Membaca mana-mana surah pilihan (surah-surah yang dianjurkan) :
5. Selepas membaca surah tersebut, tasbih sebanyak 15 kali.

6. Selepas membaca bacaan rukuk, tasbih 10 kali (ketika rukuk).

7. Selepas membaca tasmi', tasbih 10 kali (ketika i'tidal).

8. Selepas membaca bacaan sujud, tasbih 10 kali (ketika sujud). 

9. Selepas membaca bacaan antara 2 sujud, tasbih 10 kali (ketika duduk antara 2 sujud).

10. Selepas membaca bacaan sujud (pada kali kedua), tasbih 10 kali (ketika sujud).

11. Tasbih 10 kali (ketika berehat sekejap sebelum berdiri).

(Lakukan perkara yang sama pada rakaat kedua dan keseterusnya).

12. Sebelum memberi salam, tasbih 10 kali (selepas tasyahhud).

Okey. Moga kan dapat memanfaatkan info ini sebaiknya. Salam 10 malam terakhir Ramadhan :)

Yuk kita kejar sama-sama ~ Muthiah H <3 font="font">

Nota : Mohon bertanya kepada yang lebih arif untuk mengetahui lanjut dan dalam tentangnya. 

Labels: 0 comments | | edit post

Sup udang

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Moga hati dan jasad kita baik-baik hendaknya. Katakan TIDAK pada marah yang keterlaluan ^____^

Aik... tetiba perihal marah dicoret di sini? Haha... pagi tadi, terasa ingin marah apabila mendapat mesej di WhatsApp daripada seseorang yang tidak dikenali.  Muthiah pula tidak senang dengan mesej tersebut (padahal, bukan mesej teruk pun). Tepuk dada, tanya hati ya, Muthiah.

Kitalah yang membuat pilihan.
  • Mahu berfikir tentang perkara yang tidak disukai itu?
  • Buat tidak tahu sahaja.
  • Cari pasal dengan orang tersebut.
  • Cari pasal dengan orang di sekeliling kita (untuk melempias rasa marah).
Ketahuilah... apapun pilihan kita, kita jugalah yang akan mendapat impaknya. Orang lain... sekiranya negatif, mungkin terkena tempiasnya sama. Maka, jom ingat ALLAH :)

Lantas, Muthiah pasang al-Quran Explorer. Muthiah memilih untuk tidak mahu melayan rasa itu (Moga sahabat-sahabat Muthiah di sini juga membuat pilihan yang sama dengan Muthiah). Alhamdulillah. Baik sudah. Mula bekerja dengan senang hati. Siap satu bab draf novelet. Muthiah target, hendak siapkan draf sebelum raya. Doakan ya :)

Okey. Hari ini Muthiah mahu berkongsi resipi...


Sup udang


Bahan-bahan
  • 10 ekor udang - dibuang kulit
  • 2 ekor sotong - dibelah dan ditoreh
  • Fishball (dibelah dua) / fishcake (dipotong jangan halus sangat)
  • Putik jagung - dihiris menyerong
  • Lobak merah - dihiris
  • Kubis bunga
  • 1 biji cili merah - dihiris
  • 5 biji cendawan butang
  • Suun
  • 8 ekor ikan bilis - ditumbuk lumat
  • Daun bawang - dihiris
  • Garam dan gula secukup rasa
Bahan dikisar
  • 3 ulas bawang merah 
  • 4 ulas bawang putih 
  • Sedikit halia
  • 1 batang serai
Cara membuatnya
  1. Tumis bahan dikisar sampai naik bau.
  2. Masukkan air, udang, sotong, fishball, fishcake.
  3. Apabila air mendidih, masukkan lobak merah, putik jagung, kubis bunga, cendawan butang, cili merah, ikan bilis yang ditumbuk serta suun. 
  4. Kemudian, masukkan garam dan gula (tidak letak gula pun tidak apa. Muthiah sudah terbiasa. Itu pun Muthiah letak sedikit sangat) secukup rasa.
  5. Agak-agak sudah masak (mendidih), boleh hidangkan. Jangan lupa tabur daun bawang ya :)
Selamat mencuba.

Yuk, kita kejar 10 malam terakhir Ramadhan... Moga-moga ALLAH pilih.
Labels: 0 comments | | edit post

Mati

Assalammualaikum. Salam Nuzul Quran buat semua. Apa perancangan hari ini? Oh, Muthiah... ingin menyelesaikan beberapa urusan yang tertangguh, insya-ALLAH. Sungguh... pada bulan ini terasa kualiti kerja tidak cukup memberangsangkan. Salah siapa? 


Ya... tidak lain dan tidak bukan ialah salah sendiri. Boleh sahaja Muthiah hendak menuding jari kepada sesuatu dan sesiapa namun hakikatnya tetap kembali pada diri sendiri. Ehe... peringatan buat diri yang suka mencari kesalahan orang lain tetapi tidak suka mencermin diri sendiri. Bukan apa... takut melihat hodohnya diri. Maka, yuk kita percantikkan sama-sama. 


Sabtu lepas, Muthiah dan suami ke Taiping untuk menghadiri majlis pengkebumian rakan sekerja suami yang telah kembali ke rahmatullah. Al-Fatihah buat allahyarham dan salam takziah buat keluarganya. Moga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang yang beriman, insya-ALLAH... amin. 



Persoalan mati...
  • bilakah tarikh mati kita? - ALLAH lebih tahu.
  • bagaimana keadaan mati kita? - ALLAH lebih tahu.
  • di mana kita akan mati? - ALLAH lebih tahu.

Muthiah bertanyakan suami, "Bersediakah Abe untuk mati?"

Jawab suami, "Takut amal tidak cukup."

Muthiah mengangguk-angguk lantas bertanya lagi, "Bersediakan Abe kalau Muthiah mati?" (ini merupakan soalan orang yang nak cari pasal! Huh.)

Dengan tenang suami membalas, "Muthiah tengok, ada tak Abe sediakan kain kapan di rumah kita?" (hahaha... Amik kau. Tanya soalan yang bukan-bukan lagi).

Apabila jasad sudah tidak bernyawa, apa lagi yang boleh kita lakukan? Hanya menanti masa, orang yang sudi memandikan. Kemudian, dikafankan. Selepas itu, disolatkan pula. Berapa banyak yang mahu menyolatkan jenazah kita? FOC atau waris perlu menyediakan RM10 seorang, baru penuh beberapa saf? Siap semuanya, jasad kita diangkut ke tanah perkuburan dan akhirnya ditinggalkan bersendirian. 

Hmm... mungkin ada yang meratap pemergian kita, boleh jadi juga tidak. Paling tidak, suami atau isteri. Bertahun-tahun hidup bersama, akhirnya tinggal sendiri. Hiba di hati, hanya ALLAH yang mengetahui. Begitu juga dengan keluarga, saudara-mara dan sahabat handai. Mungkin... ada yang tidak sanggup meninggalkan kita sendiri di tempat baru. Maka, si dia terus menunggu sambil mengalirkan air mata di tepi kuburan kita tetapi sampai bila? Akhirnya, dia juga akan pergi dan tinggallah kita sendiri....

"Apabila mati anak Adam, putuslah semua amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat atau doa anak yang soleh."

Gusar diri ini tidak mati dalam rahmat ALLAH. Takut diri ini kembali dalam keadaan yang sedang bermaksiat kepada ALLAH. Bimbang diri ini mati dalam murka sang suami. Khuatir diri ini mati sedang diri tengah melakukan penganiayaan keada orang lain... nauzubillah, moga ALLAH lindung dan pelihara.

Setelah yakin adanya waktu kematian buat diri, masih ada lagikah...
  • rasa dendam yang berterusan terhadap mereka yang menyakiti?
  • rasa benci yang berpanjangan terhadap mereka yang mengguris hati?
  • rasa marah tanpa henti terhadap mereka yang membuat air mata kita mengalir?
  • keinginan untuk mengumpat, mengata, bersangka-sangka, hasad dengki?
  • keinginan untuk menyakiti dengan sikap... tutur kata... mimik muka?

Susah bukan untuk membuang rasa/ tabiat buruk itu tetapi... 

Maka jom...
  • Berlapang dada.
  • Memaafakan. 
  • Mendekat pada ALLAH.
  • Banyakkan istighfar, zikir. 
  • Bermuhasabah.
  • Jaga diri daripada melakukan sesuatu yang dimurkai ALLAH.
Panjang sudah. Peringatan buat diri Muthiah yang selalu alpa.

Muthiah : Yuk diri... INGATLAH pesan dirimu ini.

Mencari Naurah (Bab 51)

Novel | Mencari Naurah

DARI atas rumah, aku melihat Helmy cuba menghidupkan motosikalnya. Sekali… tidak hidup. Dua kali… tidak hidup. Kemudian, dia menolak motor tersebut dan terus memasukkan gear. Alhamdulillah. Hidup.

"Kreatif," puji Adilla.

"Itu asaslah, Dilla. Kalau motor tidak hidup, memang buat macam tu," Efendy menjeling adiknya yang tidak berkelip memandang Afzan Helmy.

"Hmmm…" Adilla segera masuk ke dalam rumah.

"Kenapa akak senyum sorang-sorang? Tidak baik, kak gelakkan orang yang motornya tidak hidup," adik perempuanku ini nampaknya tidak berpuas hati.

"Hisy… tidak adalah," aku terus meninggalkannya terkebil-kebil sendiri. 


Efendy pula masih setia berdiri di hadapan rumah. Entah apa yang difikirkan, aku sendiri tidak tahu. Aku tersenyum lagi. Sebenarnya… tindakan Afzan Helmy sebentar tadi telah mengingatkan aku kepada Pak Madi sekeluarga. Bagaimanalah keadaan Nadia dan Shazleen sekarang?

“Macam mana, kak?” Efendy menghampiriku lalu duduk bersila di tepiku. 


“Abang Helmy beri,” tambahnya lalu menyerahkan sebuah bungkusan yang berwarna hijau tua.

“Hmm...” Aku memerhati sekeliling.

“Mana mak?” soalku. Adilla juga tidak nampak kelibatnya.

“Mak dengan Dilla sudah keluar. Pergi rumah Pok Long Soh katanya,” jawab Efendy perlahan.

“Oooo...” baru aku teringat. Esok, ada orang hendak merisik anak dara Pok Long.

Setahu aku, hubungan Nani dan Suhaimi sudah terjalin sejak di bangku sekolah. Jodoh mereka memang panjang. Tahun lepas, Adilla memberitahu bahawa Nani sudah dirisik tetapi bukan keluarga Suhaimi yang datang ke rumahnya. Setelah Nani putus tunang tiga bulan lalu, Suhaimi pula masuk meminang. Nasib badan...

“Kak...” Efendy menepuk-nepuk belakangku.

“Eh. Kenapa, Ady?”

“Akak khayal, ya? Macam mana, kak? Okey tak Abang Helmy tu? Memenuhi cita rasa akak tak?”

Huh... banyak sungguh soalan yang diajukan. 


“Hmm...” diam. 


Aku berjalan ke arah bakul yang terletak di sebelah tempat menggosok pakaian. ‘Dilla! Kata hendak lipat,’ aku merungut sendiri.

“Kak...” Efendy memanggilku lagi.

“Iya, sayang.” aku sebenarnya mahu melengah-lengahkan masa. Aku pun tidak tahu sama ada aku sudah bersedia untuk mengenali Helmy dengan lebih lanjut atau sebaliknya.

“Macam inilah, kak. Baik akak istikharah dahulu. Bagi tempoh tiga bulan kepada Abang Helmy. Kalau Akak rasa okey, kita teruskan. Kalau akak rasa berat hati, hendak buat macam mana,” Efendy memberi cadangan.

“Bagus juga idea adik akak ni.” Aku terdiam sebentar. 


“Ady, nikah kahwin bukan macam masak nasi kerabu. Mudah. Nasi kerabu pun kalau silap buat jadi tidak enak untuk dimakan,” aku menyambung. 


“Melangkah ke alam perkahwinan membawa kita ke alam baru. Tanggungjawab kian bertambah. Setiap amanah akan dipersoal ALLAH kelak. Baik buat suami mahupun kepada si isteri,” aku merenung matanya.

“Sebab itu akak perlu buat istikharah dahulu. Macam akak cakap semalam, sudah istikharah mesti kita tidak akan dipersiakan TUHAN,” ujar Efendy.

Efendy masih ingat pesananku. “Pandai, adik akak.” Perlahan-lahan aku melipat pakaian yang baru sahaja aku angkat petang tadi. Sebenarnya, aku dan Adilla telah membuat satu perjanjian. Jika aku angkat baju bermakna dia perlu melipatnya. Begitulah sebaliknya tetapi adikku yang seorang ini memang panjang akal. Beria-ia mahu mengikut ibu ke rumah Pok Long Soh.

“Akak bukalah hadiah yang Abang Helmy bagi tu. Hadiah hari jadi, akak.” Efendy diam sejenak. Dia bangkit dari tempat duduknya tadi dan melangkah ke arahku. Dia kemudiannya duduk bersila di sebelah longgokan kain berdekatan denganku. 


“Ady yang beritahu dia tentang hari jadi akak,” sambungnya lagi.

“Adoi, sakitlah kak,” Efendy ketawa berdekah-dekah apabila aku mencubit lengannya. 


Suka-suka hati hendak mengumumkan tarikh kelahiranku. Aku membiarkannya. Tidak mahu melayan fiilnya yang kadang-kadang nampak lebih kebudak-budakan daripada Adilla.

“Hmm... apa kata Ady yang bukak hadiah ni?”

Aku hanya mengangguk. Aku memang tiada hati untuk membuka hadiah tersebut.

 Efendy mengambil bungkusan hijau yang kuletak di atas meja di tepi televisyen. “Berat juga. Apa agaknya?” Dia tertanya-tanya sendiri. Hadiah tersebut dia buka perlahan-lahan.

Jika diperhati dari satu sudut, Efendy sememangnya seorang yang teliti. Aku sendiri kalah dengan sikapnya yang satu ini.

“Subhanallah,” Efendy terdiam.

“Ady suka buku ini,” katanya lagi lalu menyerahkan buku-buku tersebut kepadaku.

“Cipta Syurga Hati, Raihlah Bahagia dan Mencari Pasangan Hidup,” aku berkata ringkas. Itulah tajuk-tajuk buku terbitan Karya Bestari yang dihadiahkan kepadaku.

“Ady ke beritahu dia yang akak nak beli buku ini?” soalku. Terlupa sebentar dengan pakaian yang sedang kulipat.

“Mana ada. Ady rasa, akak dengan dia memang berjodoh. Istikharahlah.” Efendy terus berjalan menuju ke tepi jendela. “Apabila selesai urusan akak, insya-ALLAH Ady pun akan walimah,” ujarnya perlahan. Kalau tadi dia begitu galak memandang mukaku tetapi tidak kini. Dia seolah-olah mengelakkan diri daripada bertembung mata denganku.

“Adik akak sudah ada calon ke?” Aku tersenyum memandangnya.

“Macam ada,” dalih Efendy. Itulah adikku yang nombor tiga. Lebih gemar melalui jalan yang lurus menuju destinasi. Dia kurang suka bermadah dalam menyampaikan sesuatu. Dengan kata lain, cakap terus. Tidak perlu belok-belok.

“Ady sudah bersedia?” soalku lagi. “Fizikal dan mental. Hendak pelihara anak orang bukan mudah,” tambahku.

“Kalau ikutkan kemampuan kewangan, memanglah belum cukup bersedia tetapi...” Efendy diam. Kali ini dia berjalan ke arah pintu.

Ekor mataku hanya menuruti gerak langkahnya yang nampak tidak keruan. Tidak berkelip kupandang wajahnya yang sudah berubah warna. “Ady tidak dapat kawal hati, ya?” Aku meneka.

“Ya. Ady pun tidak tahu hendak buat macam mana lagi. Rasa berdosa pada TUHAN.” Efendy berterus terang. Kemudian, dia diam kembali.

“Orang mana?” hatiku berkobar-kobar ingin tahu. Siapalah gadis yang beruntung itu?
“Indonesia.” Jawab Efendy ringkas.

Mataku terbeliak. Orang seberang rupanya. “Dia macam mana? Ada gambarnya?”
“Ady rasa dia tidak ada masalah sebab kakaknya juga kahwin awal.” Efendy diam sebentar. “Ady tidak simpan gambar dia. Cuma apa yang Ady boleh cakap, dia tidak cantik macam akak. Kulitnya hitam manis. Dia juga tidak tinggi walaupun mempunyai berat badan yang ideal.” Efendy menerangkan.

“Haaa... adik akak tidak jaga pandangan,” aku mengusiknya.

“Dengarlah dahulu, kak...” suara Efendy bergetar.

“Bapanya seorang ustaz di sebuah pesantren.”

“Yang membuatkan Ady jadi serba tidak kena ialah kerana apa yang ada dalam dirinya. Ia rajin berpuasa, solat malam tidak ditinggalkan, berinfak, sedekah. Ia pasti tidak ketinggalan untuk mengerjakan kebaikan,” ia mula bercerita tentang gadis yang telah menambat hatinya itu.

“Hmm... Ady tahu macam mana?” tanyaku meskipun aku sudah dapat mengagak jawapan yang bakal diberi. Bukankah dia punya senior dan rakan-rakan sekuliah?

“Kak...” Efendy diam. “Yang paling penting, apa yang dimilikinya. Insya-ALLAH... 
kekuatan dalaman itu terpancar pada wajahnya. Ia mungkin tidak cantik tetapi wajahnya nampak jernih. Dia lembut tetapi tegas. Tidak pernah Ady bertemu wanita sepertinya.” 
Dia memuji-muji gadis tersebut. Tidak pula dia menjawab persoalanku.

“Siapa namanya?” soalku lagi.

“Nazihatul Hanan binti Abdullah,” jawabnya pendek.

“Cantik nama itu,” kataku.

“Nazih bermakna suci daripada perbuatan keji,” ujar Efendy.

Aku berfikir sejenak. Teringat coretan Syeikh Ali Thantawi yang pernah aku baca, 'Puteraku… getaran serta godaan perasaan yang disebabkan oleh nafsu syahwat yang membara, bukanlah dialami oleh dikau seorang. Hal sedemikian merupakan penyakit umum sang remaja. Tenangkan hatimu. Keluhan di dadamu bukan engkau seorang yang merasainya.'

“Kalau macam itu, Ady teruskanlah niat Ady. Lagipun, ubat kepada penyakit permasalahan hati yang boleh mendorong kepada zina itu ialah kahwin!” aku mencadangkan. “Tentang duit, akak akan tolong selagi termampu,” ujarku menawarkan diri.

“Terima kasih, kak. Ady sebenarnya ada buat kerja sambilan dengan syarikat penerbitan di Malaysia. Jadi, sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan Ady. Di Mesir pun Ady bekerja jaga kedai roti.” Efendy memberitahu sesuatu yang tidak pernah kuketahui sebelum ini. “Hendak salam, kak,” pintanya tiba-tiba.

Aku tersenyum. “Dahulu... Arul, Ady dan Dilla akan salam akak sebab buat salah. Sekarang, Ady buat salah apa?” usikku.

“Ady sayang akak. Ady doakan yang terbaik sahaja untuk akak. Moga akak akan ketemu jodoh yang paling baik dan serasi.” Efendy segera mencium tanganku.

“Assalammualaikum...” kedengaran satu suara dari luar rumah. Macam kenal. Yang suka menjerit-jerit dari kejauhan, siapa lagi kalau bukan adik bongsuku?

“Waalaikumussalam,” aku dan Efendy menjawab salam tersebut serentak.

Kaki Efendy cepat-cepat melangkah ke biliknya. Tidak bersedia untuk bertemu sesiapa agaknya.

“Ady...” aku memanggilnya.

Efendy berpaling. “Ya, kak?”

“Jaga hati dan banyakkan berdoa kepada ALLAH. Pasti ada hikmah ALLAH lontarkan rasa sayang itu. ALLAH hendak uji dan mahu menunjukkan jalan untuk Ady lalui kehidupan. 
Apapun, akak akan sokong Ady."

“Terima kasih, kak...”
~bersambung~