Muhasabah Aidiladha

Assalammualaikum. 

Huh! Sudah lama tidak mengemaskini blog. Suami pun sampai kelu kata-kata, tidak tahu bagaimana lagi mahu memberi dorongan agar bersemangat menjaga 'rumah' yang satu ini. Tepuk dada, tanya selera. Bukan tidak mahu tetapi kesuntukan masa. Alasan!

Bagaimana dengan sambutan Hari Raya Aidiladha baru-baru ini? Muthiah... secara keseluruhannya, Alhamdulillah. Segalanya berjalan lancar. Seronok walaupun keletihan. Cuma...

Ada satu perkara yang Muthiah tidak suka. 

Bukan tidak suka pada Polan bin Polan... bukan juga pada sikap seseorang tetapi terhadap PILIHAN Muthiah sendiri.

Astaghfirullah. Hari yang baik... dikotori dengan memakan daging sesama manusia. Bukan sedap pun tetapi tetap mahu melakukannya. Huhu... bukankah mereka yang mendengar itu dikira terlibat sama? Kalau bersemangat untuk mendengar dan turut mengeluarkan pendapat, macam mana pula? Kemudian, mulalah rasa berdosa. 

Itulah... sendiri mahu ingat!

Hendak berterus-terang, nampak kemudaratannya lebih besar. Maka, istighfar banyak-banyak. Kena bertegas pada diri sendiri untuk tidak melibatkan diri tapi...

Tapi apa lagi?

Mati tidak tahu bila, tetap mahu menambah dosa? 

Tapi...

Huhu... mahu ambil tahu juga.

Aduh aduh aduh, sesungguhnya manusia itu acap kali lupa dan alpa. Tahu wujudnya api neraka. Terasa takut untuk menghampirinya namun tidak gentar untuk menjerumus diri ke dalamnya.

Siapa yang tidak gentar?

Tepuk dada, tanya iman. How are you today, My Iman?

Astaghfirullah...

Moga ALLAH ampun dosa. Namun! Bagaimana halnya jika salah itu kepada sesama manusia? 

Sahabat-sahabat Muthiah macam mana? Ada terjerumus juga? 



Ayuh kita bermuhasabah kembali :

  • Hindari diri daripada mendengar atau mengata.
Huhu... fitrahnya, kita memang suka bergosip. Baca gosip. Dengar gosip. Sekali sekala, menambah juga. Mana boleh diam sahaja. 

Ingat ALLAH, kita takut api neraka. Jom larik!
  • Meluah rasa tidak salah tetapi tengoklah... biar kena pada tempatnya. 
Kita tidak berpuas hati pada Polan binti Polan. Kita meluah rasa pada suami. Okey. Lega. Khuatir jika kita terlebih meluah rasa. Tidak salah tetapi takut jadi lain @ mengumpat pula. Jumpa kawan baik, kita bercerita pada kawan baik kita. Berapa orang kawan baik tu? Jumpa saudara mara, kita bercerita lagi. Mak saudara... sepupu... nenek... moyang... sudah tambah berapa orang? Kemudian, adakah cerita kita akan habis di situ atau... kawan baik kita atau... saudara mara kita bercerita pula pada orang lain yang dirasakan merupakan kawan baik mereka?

Sesungguhnya, kepada ALLAH sebaik-baiknya kita meluah rasa.
  • Jom ingat mati, menjadikan kita lebih berwaspada.
Iyalah. Tidak sempat bertaubat sebelum mati naya juga. Hanya dua tempat untuk kita tuju kelak. Syurga atau neraka (tahu pun). Sekiranya perkara buruk melebihi kebaikan, dikhuatiri ke nerakalah tempat kita, nauzubillah. Apapun, moga kita sentiasa berada di bawah redha... rahmat dan keampunan-NYA. 
  • Perbanyak melihat kelompangan diri, sebelum mencari kecacatan orang lain.
Biasalah. Mata kita hanya nampak di hadapan. Kita tidak dapat melihat koyak pada pakaian kita sendiri. Sekiranya dapat tengok pun, setelah kita meneliti sungguh-sungguh. Koyak pada sebelah belakang, lagi lagilah. Tidak akan tahu melainkan diberitahu. Jadi yuk... kita islah diri... kita berusaha keras untuk menjadi yang terbaik pada pandangan ALLAH (insya-ALLAH, akan baik juga pada sisi pandangan manusia). 

Banyak lagi sebenarnya muhasabah yang boleh dikongsikan tetapi cukuplah setakat ini. Manuskrip belum diterjah lagi. Nampak gaya, petang nanti baru mula, insya-ALLAH.

Sebelum berundur diri...

Maaf salah silap daripada Muthiah. Insya-ALLAH... Muthiah akan berusaha untuk menjadi lebih baik daripada semalam meski Muthiah tahu. Selaku manusia, sukar untuk memuaskan hati manusia lainnya. Serah sahaja pada ALLAH yang Maha Teliti Penghitungan-NYA.

Muthiah : Berusaha!

Terima kasih lagi...

Assalammualaikum. Apa khabar?

Keadaan kita...

  • Sihat.
  • Ceria.
  • Bahagia.
  • Marah.
  • Moody.
  • Sakit hati.

Apapun kondisi kita, moga kita berada dalam rahmat ALLAH selalu. 

Tiba-tiba rasa terharu. Terkenangkan ahli keluarga, sanak-saudara serta sahabat-sahabat yang banyak menyokong Muthiah dalam meneruskan cita-cita bergelar penulis berjaya. Insya-ALLAH, amiin.

Terima kasih banyak-banyak ya.

Bagi yang...

  • mendoakan Muthiah dalam diam mahupun secara terang.
  • telah mendapatkan karya-karya Muthiah.
  • sudi menjengah blog Muthiah ini. Hukhuk... terasa diri dihargai.
  • turut like page blog Muthiah di FB. Sungguh! Muthiah amat terharu. Walaupun nampak tidak seberapa, sebenarnya cukup memotivasi Muthiah.
  • memberi sokongan dan galakan kepada Muthiah secara langsung atau tidak langsung.
  • like (di FB) gambar-gambar yang memaparkan karya terbaharu Muthiah. Alah, like saja pun. Tidak! Anda sebenarnya membantu Muthiah mempromosi buku-buku Muthiah. Macam mana? Like anda menyebabkan pos tersebut naik di News Feed. Maka, orang akan maklum tentangnya.
Moga sahabat-sahabat Muthiah juga berjaya dalam apa jua lapangan kerja yang dilakukan. Amiin. Amiin ya Rabbal 'Alamin.

Muthiah : Suami dan keluarga sebagai pembakar semangat. Sayang semua.

Ulang tahun kelahiran mama

Pejam celik, pejam celik... sudah lebih 20 tahun arwah mama kembali ke rahmatullah. Moga roh mama dicucuri rahmat.


Hari ini merupakan hari kelahiran mama. Moga mama aman di sana. Al-Fatihah :)


Bagi yang masih punya ibu ayah...

  • Hargai mereka.
  • Berbuat baiklah kepada mereka.
  • Hormati mereka.
  • Doakan kesejahteraan mereka.
  • Ziarahi mereka.
  • Cuba jadi anak yang terbaik.

Bagi yang sudah kematian ibu atau ayah atau keduanya...

  • Doakan mereka.
  • Ziarahi kubur mereka. 
  • Berbuat baiklah dengan sahabat handai mereka.
Muthiah : Moga kita jadi anak soleh solehah dan memiliki anak-anak soleh solehah, insya-ALLAH. Amiin.

Letih, beb!

Assalammualaikum. Moga kita semua ceria-ceria selalu. Mahu tulis apa ya?

Sejak raya Aidilfitri tempoh hari, boleh dikatakan hampir setiap minggu Muthiah berperjalanan jauh : Kuala Lumpur -> Kelantan -> Perak.

Biasalah. Apabila berperjalanan jauh, badan pun letih. Apabila jasad penat, tidak dapat fokus menulis. Akibatnya, kerja dirasa tidak produktif. Jadual tidak dapat diikut secara baik. Walhal sebelumnya, jadual yang dibuat berlangsung elok. 

Sedikit sebanyak, terbit juga rasa kecewa dalam diri. Salah siapa ek?

Soalan cepu mas : Adakah terdapat unsur-unsur keluhan di sini? 

a) Memang pun.
b) Hisy, dia pun mengeluh memanjang.
c) Mana ada. Cerita di atas adalah sebagai mukadimah entri blog sahaja.

Apa ada di dalam hati anda? :)

Kitalah yang membuat pilihan...

Gambar hiasan

Muthiah berkata pada suami, "Lepas program ni, Muthiah tak nak sertai mana-mana program dah. Nak fokus menulis. Kerja tak jalan. Balik program, letih bla bla bla..."

Suami menggeleng. "Tak elok cakap begitu. Cakaplah begini begini begini." 

Terasa dengan teguran suami, Muthiah pun mendiamkan diri. Jauh di sudut hati, Muthiah akui kebenaran kata-kata suami tetapi biasalah...

Manusia biasa (lemah dan banyak kekurangan). Egonya meninggi. Mujur sang suami yang menasihati. Maka, tidaklah Muthiah berbalas cakap. Muthiah memilih untuk mendengar sahaja tanpa menyatakan pendapat Muthiah sendiri. Tambahan pula... kata-kata suami, memang betul.

Hendak dijadikan cerita...

Seminggu selepas program itu, berlangsung Bengkel Penulisan ITBM-PENA-DBP di Kuala Lumpur. Dua minggu kemudian pula (bermula semalam sehingga Ahad ini), berlangsung Seminar Penulisan di Melaka dan Kuala Lumpur dan....

Muthiah merupakan salah seorang daripada peserta program tersebut. Apa???

... membuatkan Muthiah berfikir-fikir kembali.

Apa yang aku cakap?
Apa yang ALLAH tentukan untuk aku?

Sesungguhnya, perencanaan ALLAH adalah yang terbaik!

Apa pengajaran daripada perkongsian di atas?
  • Positiflah dalam apa jua kondisi. 
  • Kita merancang. ALLAH merancang. DIA-lah sebaik-baik Perancang.
  • Apabila menegur, tegurlah dari hati. Hindari cakap-cakap yang sinis dan menyakitkan hati. Insya-ALLAH, teguran yang baik itu akan sampai ke hati. Pahala pun dapat apabila kita menegur dengan ikhlas (Bab ikhlas ini, hanya ALLAH yang tahu).
  • Pilihlah untuk mengharungi -> mencari penyelesaian -> akhirnya berjaya. Bukan melarikan diri -> mengaku kalah sebelum berjuang -> tidak ke mana.
  • Yakin dengan ALLAH!
  • Usaha tangga kejayaan.
  • Bersakit-sakit dahulu... bersenang-lenang kemudian ^_^
  • Kurangkan mengeluh. Berbalik kepada point yang pertama -> POSITIF!
Okey. Cukup untuk hari ini. Yang baik... jadikan teladan. Yang tidak elok, fikir-fikirkan. Panjang umur, ketemua lagi ya.

Muthiah : Orang yang suka menyakitkan hati, hati dia sebenarnya berpenyakit. Betul? 

Aku dan hati

Assalammualaikum. Apa khabar? Dua hari ini, Muthiah tidak masuk 'pejabat'. Ambil part time jadi runner. Petang nanti, hendak ke Melaka. Moga ALLAH permudah segala urusan, insya-ALLAH. Amiin...

Aku dan hati

Hati : Sedihnya.
Aku : Kenapa?
Hati : Berjauhan dengan dia.

Aku keliru. Persoalannya, kenapa?

Hati : Tidak sanggup berjauhan.

Aku sudah mengerti sebabnya.

Aku : Jadi, bagaimana?
Hati : Terpaksa.
Aku : Terpaksa? Bukankah demi mengejar impian dan cita-cita?

Hati hanya membisu.

Hmm...

Kitalah yang membuat pilihan. Setelah itu, harungi jalan yang dipilih dengan cekal hati dan tabah. Meluah rasa tidak salah namun biarlah berpada-pada (Adoi! Terkena batang hidung sendiri). Menangis tidak apa tetapi jangan sampai memakan diri sendiri.

Macam hati... ia memilih untuk mengejar cita-cita. Maka, ia perlu kental. Tidak boleh terlalu melayan perasaan. Nanti jasad sendiri yang merana. 

Sahabat-sahabat ada melaluinya?

Daripada wanita berkerjaya, mengambil keputusan berhenti kerja untuk duduk dekat dengan suami. Memilih untuk dekat... maka, bersedia!

Suami isteri sama-sama bekerja. Atau ada yang memilih untuk sambung belajar. Dek kerana amanah tugas, masing-masing terpaksa berjauhan. Memilih untuk jauh... maka, bersedia!

Banyak lagi contoh sebenarnya. Apapun, pilihan adalah di tangan kita. 

Kita memilih untuk gembira dengan keputusan yang dibuat atau...
kita memilih untuk bersedih hati dek kekurangan yang ada.

Percayalah. Kita tidak sendiri. Kita punya ALLAH yang Maha Kuasa... yang Maha Teliti Penghitungan-NYA.

Muthiah : Entri untuk diri sendiri KHUSUSNYA.
Labels: 0 comments | | edit post

Puding telur

Assalammualaikum. Mulakan hari kita dengan mengingati ALLAH. Sudah menunaikan solat sunat Dhuha? 

Yuk... ambil sedikit masa dan jom kita menghadap TUHAN yang Maha ESA. Bagi yang tidak mampu (ekoran kerja dan urusan yang tidak mengizinkan), insya-ALLAH. Tanamkan tekad dalam hati. ALLAH pasti beri ruang dan jalan. 

Okey. Hari ini hendak berkongsi resipi.

Puding telur (caramel)


Bahan-bahan

(i) Puding telur

5 biji telur
1 tin susu cair
1 cawan gula
1 sudu isen vanila
Sedikit garam

(ii) Sos caramel

1 cawan gula
1 cawan air

Cara membuatnya

(i) Puding telur

  1. Pukul telur sampai kembang.
  2. Masukkan susu cair, gula, isen vanila dan garam. Kemudian, pukul lagi sampai sebati. (ada juga yang masukkan sedikit mentega).

(ii) Sos caramel

  1. Panaskan kuali dan masukkan gula sampai gula hancur (atau tidak berketul).
  2. Kemudian, masukkan air pula. 
  3. Setelah sebati, masukkan ke dalam loyang. Campur dengan puding telur di atas.
  4. Akhir sekali, kukus selama 30 minit.

Siap ^_^

Sumber : Menu adalah daripada mama di kampung.
Labels: 0 comments | | edit post

Mencari Naurah (Bab 61)

Novel | Mencari Naurah


TELEFON bimbit Anuar berdering…

"Assalammualaikum, Asyraf. Awal-awal pagi sudah kacau aku tidur," Anuar bersuara riang.

"Waalaikumussalam. Alahai, eksekutif sumber manusia. Bangun! Matahari sudah naik. Tidak elok tidur selepas subuh," balas Asyraf. Turut sama riang.

"Apa hal kau telefon aku pagi-pagi ini?" soal Anuar pendek.

"Hmmm… aku hendak bagi kad, lah," Asyraf berterus-terang.

"Kad serta berita gembira," tambahnya lagi.

"Wow, kad kahwin ke, kawan? Aku pun ada berita gembira juga ni," Anuar yang tadinya terbaring di atas katil segera bangkit menuju ke tepi jendela.

"Cepat, siap! Aku ambil kau kat rumah dalam 10 minit lagi. Kau mandi P. Ramlee sahaja pagi ni," seloroh Asyraf.

"Hmmm… Idea bernas. Kau datanglah. Kalau aku tidak siap lagi, kau tunggulah sekejap," ujar Anuar.
"Okey. Aku dah dalam perjalanan ni. Cepat sikit," Asyraf sedikit mengarah.

"Baik, bos." Anuar segera berjalan laju ke bilik air yang terletak di dalam kamar tidurnya. 

'Apalah berita gembira yang ingin disampaikan Asyraf? Apapun… pasti tidak akan dapat mengatasi berita kegembiraanku,' Anuar berkata sendiri. Wajah Natasha tiba-tiba hadir. Anuar yakin dirinya diterima.

“DIAM-DIAM berisi juga sahabat aku yang seorang ini,” usik Anuar dalam senyum. Senyum yang palsu, mungkin...

“Mungkin sudah jodoh...” balas Asyraf pendek.

“Sejak bila sebenarnya?” Anuar bertanya lagi.

“Entahlah, semuanya berlaku dengan begitu pantas. Begitu banyak perkara yang terjadi dan perkahwinan ini adalah kemuncaknya,” Asyraf berterus-terang.

“Memang tidak ada siapa pun yang dapat menolak ketetapan ILAHI. Walaupun sudah memecut laju, jika ketetapan-NYA begitu, akhirnya dia akan tetap pergi.” Ada sedikit getar pada bicara Anuar. Dia menoleh ke arah Masjid Ar-Rahman yang terletak di sebelah kiri pintu masuk Universiti Malaya.

“Siapa sangka, gadis yang kita kejar-kejar selama ini kelak menjadi hak sahabat yang dekat dengan kita,” sambungnya lagi. Tidak ada tanda-tanda menunjukkan dia sedang marah.

“Milik sementara kerana dia adalah milik TUHAN yang mutlak, War.” Asyraf menyampuk.

“Benar...” Anuar mengiakan. “Sejak bila sebenarnya?” Dia masih tidak berpuas hati. Dia tetap mahukan kepastian.

“Aku pun tidak tahu, War. Semuanya tidak dirancang,” Asyraf berkalih ke arah Anuar yang tidak berkelip memandangnya. Benar! Dia sebenarnya tidak pasti sejak bila dia memerhatikan Natasha. Mungkin sahaja sejak di alam kampus.

“Mula-mula, rasa kecewa juga,” luah Anuar perlahan. “Sewaktu ditolak Asha dahulu, aku rasa masih punya peluang untuk menambat hatinya,” Anuar tersenyum kemudian serius kembali. “Lebih-lebih lagi apabila ibu dan ayah sudah berkenan dengan budak kecil yang seorang itu...”

“Mak dan ayah kau sudah berjumpa dengan Natasha?” Kening Asyraf terangkat. Sama sekali dia tidak mengetahuinya.

“Sudah,” jawab Anuar pendek.

“Tetapi...” Asyraf mencelah.

Anuar memintas kata-kata Asyraf sebelum sempat lelaki itu menyudahkan bicaranya. “Bila dapat kad kau tadi… tiba-tiba rasa gelapnya dunia...” Dia terdiam sejenak. “Rasa macam tidak adil dan tidak berbaloi. Penantian selama ini hanyalah sia-sia...”

“Mungkin iblis sedang mencucuk dan menghasut. Sebab itu aku boleh berfikir begitu.” Dia memberhentikan kenderaan yang dipandunya di tempat letak kereta Kolej Kediaman Pertama (ASTAR), Universiti Malaya. 

Aku cuba mencari ruang untuk menghilangkan perasaan itu...” lidahnya tiba-tiba kelu. 

“Kemudian, apabila kita memasuki kolej kediaman ini... aku rasa lapang,” dia berterus-terang.

“Lapang?” Asyraf bertanya. Mereka masih lagi duduk di dalam kereta.

“Ya, Asyraf. Hilang semua rasa kecewa. Mungkin ikatan persahabatan antara kita menyebabkan aku dapat menerima segalanya,” suara Anuar masih lagi bergetar. “Aku yakin Natasha pasti tidak akan dipersia-siakan,” katanya lagi.

“Insya-ALLAH, aku akan jaga Natasha dengan baik.” Mata Asyraf masih lagi memandang Tasik Varisti yang terletak di hadapan ASTAR.

Gambar hiasan

“Aku suka Natasha sejak kau marahkannya dahulu,” Anuar tergelak kecil.

“Bila?” Dahi Asyraf berkerut.

“Sewaktu jam tangannya mati.” Anuar tersenyum sendiri mengenangkan saat itu.

“Kemudian lewat lima minit,” Asyraf menyambung sambil ketawa kecil.

“Kenangan tidak akan kembali tetapi akan tetap kekal dalam ingatan. Walaupun dia sudah bergelar si nenek tua,” ujar Anuar lagi.

“Benar. Kita tidak akan mampu menyahkan kenangan lalu. Namun, jadikanlah kenangan itu sebagai motivasi untuk kita terus bergerak laju,” Asyraf menambah.

“Jom makan. Lapar daaaa,” Anuar membuka pintu Avanza miliknya. Mereka pun menuju ke gerai makan Pak Abu yang terletak di belakang blok D, Kolej Kediaman Pertama.

"Eh, apa pula berita gembira yang kau nak sampaikan?" Asyraf tiba-tiba bertanya. Anuar terkesima dengan pertanyaan Asyraf. Ia tunduk ke tanah kemudian mendongak kembali.

"Hmmm… berita gembira sebab aku dapat merasai bahawa rakan akrabku akan berumah tangga," ujar Anuar tanpa memandang wajah Asyraf.

"Terima kasih," ucap Asyraf.

"Hmmm…" mereka pun sama-sama memasuki gerai makan Pak Abu.

‘Biarkan kenangan itu berlalu sendiri tanpa perlu membuangnya,’ Anuar berkata di dalam hati. Dia tetap tersenyum dalam sendu.

~bersambung~

Mencari Naurah (Bab 60)

Novel | Mencari Naurah


“ASHA pasti dengan keputusan Asha?” soal Kak Rose sungguh-sungguh.

“Insya-ALLAH...” aku langsung tidak memandang wajahnya. Mungkin ada hati yang terluka tetapi aku tidak mampu untuk memenuhi kehendak semua orang.  “Maafkan Asha, Kak Rose,” tubuhnya kupeluk erat. Air mataku gugur satu per satu. Semakin erat genggaman, semakin kuat tangisanku. Perasaan bersalah menghantui diri.

“Maafkan Asha, Kak Rose,” aku merayu lagi. Kak Rose tetap diam. Aku tidak pasti sama ada Kak Rose sedang marah ataupun sedang mencari ruang membina kekuatan.

“Asha...” Kak Rose menyebut namaku  lembut. Sungguh lembut dan ada sedikit getar pada hujungnya. Hmm... Sudah lama aku tidak dibelai begini oleh sang kakak. Maklumlah, masing-masing sibuk dengan karier yang dipilih. Tanganku digenggam erat. Semakin lama semakin erat, seperti tidak mahu dilepaskan pergi.

“Akak tidak salahkan sesiapa. Jodoh pertemuan di tangan TUHAN. Akak pun tidak meletakkan harapan yang tinggi kepadanya.” Kak Rose melepaskan genggamannya. Dia tunduk seketika. Kemudian, merenung wajahku kembali.

“Tetapi...” aku mencelah. Air mataku semakin deras mengalir.

“Akak akui akak pernah menyimpan perasaan kepadanya. Wanita mana tidak tersentuh apabila berhadapan dengan seorang lelaki yang dilihat mampu melindunginya dunia akhirat...” Kak Rose tunduk lagi.

“Akak jua insan biasa dan memiliki fitrah seperti manusia lainnya. Kadang-kadang, akak ingin dikasihi dan disayangi oleh seseorang yang bergelar lelaki. Namun, syariat membatasi segalanya. Akak akur dengan ketetapan-NYA kerana sesungguhnya DIA lebih tahu atas segala sesuatu yang berlaku.” Air mata yang mengalir dari pipiku diseka dengan tangannya yang lembut.

“Akak mahukan ikatan yang halal, dalam kasih sayang dan itulah yang dinamakan sebagai pernikahan...”
“ALLAH itu Maha Tahu, Asha. DIA lebih tahu mana-mana yang terbaik untuk setiap hamba-NYA. Sebagai makhluk-NYA yang lemah, akak redha dengan setiap ketentuan TUHAN,” Kak Rose menambah sambil tersenyum manis. Tidak dapat kulihat gelora hatinya yang sebenar.

“Akak betul-betul tidak salahkan Asha?” aku masih tidak berpuas hati.

“Tidak, sayang. Bahkan akak bersyukur kerana dia yang pernah hadir dalam hati akak akan hidup bersama seorang adik yang paling akak kasihi. Akak yakin Asha mampu menjadi isteri solehah yang hidup dan matinya adalah bersama suami. Segala ketaatan terhadap insan yang sah bergelar suami itu dilakukan dengan ikhlas semata-mata mengejar redha ILAHI,” ujarnya berterus-terang.

“Akak tak kecewa ke?” Mana mungkin aku lupa. Kak Rose sendiri mengakui apa yang terpendam dalam hatinya. Tanpa berselindung, Kak Rose menyatakan impiannya untuk hidup bersama Asyraf. Dan pasti, wajah Kak Rose begitu berseri-seri saat itu.

“Akak selalu berdoa agar dapat bertemu jodoh dengan Asyraf...”

Bait kata Kak Rose berlegar-legar di dalam fikiranku. Dia memiliki rasa hati yang sama sepertiku. Kami sama-sama menaruh perasaan terhadap seorang lelaki yang nampak sempurna pada kaca mata seorang wanita.
“Zaman sekarang, bukan mudah untuk menemui lelaki yang sesuai untuk dijadikan suami apatah lagi sebagai ketua rumah tangga,” aku berkata sendiri.

“Apa, Sha?” Kak Rose bertanya kembali, menyedarkanku daripada lamunan.

“Akak tidak kecewa? Tidak dapat bersama dia?” aku merenung tajam anak matanya. Dari situ, pasti akan kuketahui sama ada  dia berkata benar atau sebaliknya.

“Tidak, sayang. Akak tidak mendambakan kasih seorang lelaki yang akak cintai tetapi akak mahu dipertemukan dengan seorang pemuda yang menyintai TUHAN-nya. Kalau dia cintakan akak, biarlah rasa cinta itu hadir kerana ALLAH...”

“Memang, kita boleh berkata bahawa cinta itu, kasih itu adalah kerana ALLAH SWT semata-mata, namun lidah itu sememangnya tidak bertulang. Boleh jadi kita berdusta dan bercakap bohong. Rasa cinta itu sebenarnya hadir dari dasar hati yang berlandaskan nafsu...”

Gambar hiasan

“Akak akui akak pernah menaruh hati kepada dia. Akak kira dia adalah insan yang terbaik dan paling sesuai untuk akak. Akal fikiran akak yang terbatas telah beranggapan sedemikian. Akan tetapi, sesungguhnya ALLAH itu lebih tahu apa-apa yang paling baik untuk setiap hamba ciptaan-NYA,” panjang lebar Kak Rose memberi penerangan.

Kak Rose masih lagi mengukir senyuman, membuatkan aku betul-betul terharu. Air mataku mengalir laju.
“Asha jangan nangis-nangis lagi. Tidak manis bakal pengantin menangis memanjang. Asha tak pernah buat salah pada Kak Rose,” ujar Kak Rose tanpa menunggu jawapan daripadaku.

Lidahku masih lagi kelu untuk berkata-kata. Perasaan bersalah terhadap Kak Rose masih lagi menebal. Mata kasarku melihat kecantikan akhlak milik Kak Rose. Selayaknya dia bertemu dengan insan yang paling baik di kalangan yang terbaik.

“Jom, akak belanja Asha nasi ayam cendawan sebagai meraikan hari bahagia Asha yang bakal menjelang. Bila tarikhnya?” Kak Rose menarik tanganku ke medan selera bangunan Maju Junction ini.

“18 Ogos ni, insya-ALLAH. Tidak sampai tiga bulan,” jawabku dengar tidak dengar. “Kak Rose mesti datang,” tambahku lagi.

“Insya-ALLAH, kalau tiada aral melintang. Bukankah kita merancang... kita juga berimpian, namun kuasa TUHAN, tidak ada siapa yang mampu menduga.”

Kata-kata Kak Rose begitu menusuk kalbuku. “Terima kasih, Kak Rose,” ucapku lalu mencium pipinya yang semakin gebu. Sejak bergelar pensyarah, kulit Kak Rose nampak semakin gelap tetapi sama sekali tidak dapat mencacatkan wajahnya yang sedia menawan itu.

AKU dan Kak Rose menjamu selera bersama-sama. Aku lihat, Kak Rose begitu berselera menjamah makanan yang dipesan. Hanya aku tidak punya keinginan untuk makan.

“Anuar pula macam mana? Dia datang sekolah akak semata-mata hendak mengorek rahsia Asha.” Dahi Kak Rose sedikit berkerut.

“Rahsia apa, kak?” Aku memadang Kak Rose dengan seribu satu persoalan yang bermain di fikiran. Rahsia apa yang telah dibocorkan Kak Rose kepada Anuar?

“Bukanlah rahsia sangat. Dia hendak tahu tempat Asha bekerja. Sanggup tunggu akak di hadapan pintu pagar sekolah.” Kak Rose menjawab bersahaja. Nasi ayam cendawan disuapnya perlahan.

“Rahsialah juga tu.” Aku tersenyum nakal. “Asha sudah cuba untuk menerima Anuar. Dia baik, prihatin, bertimbang-rasa bahkan ibu dan ayahnya sangat merendah diri...” aku menyambung kata-kataku.

“Dato’ Baharin yang kita minta sponsor dahulu kan?” mata Kak Rose membulat.

“Ya, kak,” balasku pendek.

“Tetapi tidak tahulah, kak. Asha tidak boleh memaksa diri untuk menerimanya. Asha buat solat istikharah, solat hajat tetapi tetap tidak dapat menerimanya. Dia tidak ada cacat-celanya, kak. Rupa ada, pelajaran ada. Keluarga pun orang berada...” aku berterus-terang.

“Hati, Sha,” Kak Rose menyampuk. “Boleh jadi juga kerana memang dia bukan jodoh Asha menyebabkan ALLAH tetap menutup pintu hati Asha buatnya,” tambahnya lagi.

“Mungkin, kak,” balasku.

“Insya-ALLAH, Akak sentiasa doakan yang terbaik untuk adik kesayangan akak ni,” kata Kak Rose sambil menghirup air tembikai yang dibelinya di gerai No. 5.

‘Maafkan Asha, Kak Rose,’ desis hatiku. Meskipun Kak Rose kelihatan begitu berlapang dada dengan apa yang berlaku, rasa bersalah tetap menghantui diriku. Aku telah merampas Asyraf daripadanya. Kalau aku tiada, sudah pasti Asyraf akan menjadi bapa kepada anak-anak Kak Rose.

“Asha jangan fikir bukan-bukan. Segala apa yang berlaku adalah ketetapan TUHAN. Bukan kita yang menentukan...” Kak Rose seolah-olah dapat membaca apa yang berlegar-legar di dalam hatiku. 

~bersambung

Buat salah vs tak buat apa-apa!

Assalammualaikum. Pejam celik, pejam celik. Sudah hari Jumaat. Moga perjalanan hidup kita lebih baik, tersusun dan barakah daripada hari sebelumnya.

Katakan tidak pada :

  • Mengumpat
  • Mengata
  • Melabel
  • Bersangka-sangka
  • Mulut laser
  • Bicara sinis
  • Tidak amanah
  • Curi tulang
  • Lawan cakap suami
  • ______
  • ______

Asalnya, Muthiah hendak menulis puisi tetapi tidak berjaya (untuk ketika ini). Maka, Muthiah memetik kata-kata yang disampaikan oleh Sasterawan Negara Dato' Dr. Anwar Ridhwan yang berbunyi...


A life spent making mistakes is not only more honorable but more useful than a life spent in doing nothing ~ George Bernard Shaw.

Jom kita sama-sama fikirkan mengikut kondisi kita. Bagi Muthiah... sisi seorang yang mahu maju dalam lapangan penulisan, insya-ALLAH. Amiin.
Labels: 0 comments | | edit post

Andai kita menumpang...

Assalammualaikum. Mulakan harimu dengan senyuman. Ikhlas tidak ikhlas, biar ALLAH yang menentukan. Sesungguhnya, senyum itu bukan sahaja bisa menggembirakan hati mata-mata yang memandang tetapi empunya diri pun pasti terimpak sama, insya-ALLAH.

Hmm...



Seorang teman ada mengadu kepada Muthiah. Dipendekkan cerita... teman Muthiah ini sudah berumah tangga dan memiliki tiga orang cahaya mata. Dia dan suaminya sama-sama bekerja. Baru-baru ini, adiknya yang bongsu datang ke kota dan tinggal bersamanya. Sebagai kakak, dia tidaklah berkira dengan adik sendiri. Namun, ada beberapa perkara yang agak dikesalkannya.

Persoalan daripada Muthiah.

Sahabat-sahabat tinggal dengan siapa ya?

  • Ibu ayah.
  • Kawan-kawan.
  • Kakak/ abang yang sudah menikah. Pastinya ada abang/ kakak ipar sekali.
  • Emak/ ayah saudara yang sudah menikah. Di rumah, pasti ada juga sepupu dan ayah/ emak saudara sabit.
  • Nenek dan datuk.
  • Emak angkat. Jika bukan anak susuan emak angkat tersebut, suami serta anak-anaknya adalah bukan muhrim kita.
  • _______
  • _______
Berbalik kepada tajuk entri pada hari ini. Rentetan daripada luahan sang teman, terhasillah konklusi di bawah. Boleh jadi kena dengan situasi yang sedang dihadapi, boleh jadi juga tidak. Hanya mereka yang terlibat sahaja yang lebih tahu. 

Yang baik, jadikan teladan. 
Yang tidak baik, jadikan sempadan.

Andai kita menumpang di rumah orang...
  • Hormatilah tuan rumah - Dengan kata lain, beradablah sebagaimana kita berada di rumah orang. Letakkan diri kita sebagai tuan rumah. Apa yang kita suka atau tidak suka? Maniskan bibir dengan senyuman.
  • Berbicara dengan lembut dan tidak menyakitkan hati - Sekiranya ditegur/dinasihati, bertenang dahulu. Usah cepat melatah. Jika kita berada di pihak yang benar, berbicaralah dengan elok untuk mempertahankan diri. Namun jika benar apa yang diperkatakan tuan rumah, mohon muhasabah diri balik. Semuanya untuk kebaikan kita juga.
  • Pelihara aurat - Cuba tengok, siapa yang berada di dalam rumah yang kita duduki? Perempuan, perlulah menjaga aurat di hadapan abang iparnya. Lelaki, kasihi abang kita dan pastikan kakak ipar kita memelihara auratnya di hadapan kita (tetapi bagaimana?). Bagi yang tinggal dengan ibu saudara, jagai aurat di hadapan bapa saudara sabit serta sepupu-sepupu kita dll. 
  • Balik awal - Sekiranya tidak ada urusan yang benar-benar penting, paling tidak... baliklah sebelum masuk waktu Maghrib. Lebih-lebih lagi jika kita adalah kaum hawa. Banyak yang perlu dipelihara. Lagipun, tidak manis keluar pada lewat malam. Fikirkan sekali perasaan tuan rumah. Sekiranya kita adalah tuan rumah, sukakah kita andai orang yang duduk di rumah kita itu... 'Keluar masuk rumah ikut suka hati dia?' Memang... kita sudah pegang kunci pendua tetapi itulah... tanya balik tuan rumah. Kalau mereka tidak kisah... 'baliklah pukul 2.00 pagi pun'. 
  • Ringankan tulang membantu tuan rumah - Yuk... rajinkan diri membantu di dapur (masak, basuh pinggan). Jangan basuh pinggan kita seorang sahaja. Kelapangan, tolonglah bersihkan rumah sekali (sapu sampah, mop rumah, basuh kain, jemur kain, lipat kain). Selain dapat meringankan beban tuan rumah, turut menyenangkan hati mereka sebenarnya. Bukan buat hari-hari pun. Dengan lain perkataan, bantulah sedaya yang kita mampu.
  • Ada lebih, kongsikan juga - Sekali-sekala kalau mampu, belilah juga barang dapur atau apa-apa yang dirasakan perlu. Iyalah. Kita sudah duduk free. Makan pun boleh jadi free. Bil elektrik dan air sudah lepas. Maka.....
  • Bangun awal juga - Yang ni... ditujukan kepada kaum Hawa. Cuba tengok rutin tuan rumah. Dia bangun pukul berapa ya? Kalau tuan rumah bangun jam 6.00 pagi untuk buat sarapan, jangan pula kita bangun pukul 7.30 pagi untuk makan dan pergi kerja. Duduk lama dengan datang sekali sekala lain tau. Kalau sekali sekala... mungkin letih blablabla. Kita pula tetamu. Akan tetapi kalau kita duduk berbulan atau mungkin bertahun, bangun pula apabila semua sudah tersedia atas meja... lagu mano? Nanti tertukar. Kita tuan rumah ke... tuan rumah orang gaji ke? Iyalah. Kita pula tidak langsung membantu. Hati tuan rumah pun perlu dijaga. Lebih-lebih lagi wanita. Sudahlah emosi wanita ni macam-macam. Jadi.... 
  • Jangan jadikan rumah tempat kita 'menumpang' itu umpama hotel.
Sekiranya kita tidak mahu dan tidak bersedia untuk melakukan perkara di atas... bak kata sang teman kepada Muthiah, "Lebih baik angkat kaki. Cari rumah lain untuk diduduki." Huh! Kerasnya tetapi mungkin dia sudah terlalu lama memendam rasa.

Moga kita menjadi hamba ALLAH yang peka terhadap perasaan orang lain. 

Muthiah : Pernah menumpang di rumah nenek saudara sewaktu belajar dahulu.

Guris vs gores


Ejaan yang betul bagi guris ialah gores.

Sumber : PRPM

Tanda soal (?)

Selepas tanda soal (?) hendaklah dimulakan dengan huruf besar pada permulaan ayat. 

Contohnya : "Kau pergi ke mana?" Tanya Abu.

Sumber : PRPM

Takrif (1)

Assalammualaikum. Insya-ALLAH, sekarang Muthiah tengah mengedit dan merombak manuskrip Muthiah dengan Alaf 21. 



  1. Reputasi - nama baik.
  2. Sementelah - lebih-lebih lagi; tambahan pula.
  3. Seraya - sedang melakukan sesuatu me­lakukan yang lain juga; sambil.
  4. Sekilas - (dalam) masa yang sangat singkat; seketika; sekejap.

Talent

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah... Alhamdulillah. 

Hari ini tidak ada mood. Sebab... biarlah rahsia. 

Ehe. Apapun, hidup ini ada pasang surutnya. Kadang-kadang kita gembira. Acap kali juga hati berasa rawan. Sekali-sekala rasa teruja. Berkali-kali juga merasa kecewa. Apapun, kitalah yang membuat pilihan. 

Sampai bila hendak melayan rasa???

Okey...

Talent.

Tahu tak apa itu talent? Muthiah pun baru tahu sebenarnya. Salah satu yang Muthiah faham... talent adalah gadis (lelaki pun ada) yang dijadikan model oleh para jurufoto. Betul tak? Ini yang Muthiah fahamlah. Untuk info lebih tepat, bolehlah bertanya kepada mereka yang lebih pakar. Namun menurut Kamus Dewan online, talent  membawa maksud ->PRPM.



Suami Muthiah memiliki hobi baharu yakni mengambil gambar dengan kamera DSLR. Muthiah pun tumpang gembira (sebab suami gembira). Cuma, ada sesuatu yang kurang menyenangkan Muthiah. Apa dia?

Hahaha...

Risau... ada unsur cemburu di dalam hati... tidak senang apabila mengenangkan suami yang bakal keluar outing (padahal tak keluar outing pun lagi) untuk mengambil gambar para talent yang cantik rupawan. 

....

Kata Muthiah, "Nanti outing, Abe mesti ambil gambar budak-budak comel tu kan?"

"Muthiah comel lagi. Nanti, Muthiah ikutlah sekali," balas suami tenang.

Muthiah mengangguk-angguk. "Okey. Nanti kalau outing, jurufoto lain ambil gambar talent, Abe ambil gambar Muthiah seorang."

Pengajaran dan peringatan buat diri...
  • Cemburu itu perlu tetapi biarlah bertempat dan berpada-pada. 
  • Para suami, biasakanlah diri memuji kecantikan isteri anda meski isteri anda itu biasa-biasa sahaja.
  • Apa yang difikirkan itu juga satu doa. Maka, fikirkanlah yang baik-baik sahaja.
Baiklah. Moga kita semua dirahmati ALLAH. Noktah :)

Muthiah : Cemburu pada segenap tempat?